BUDAYA ILMU
Pendahuluan
Dalam tahun-tahun mutakhir ini wujud gesaan yang kuat supaya dipupuk dan diperkembang budaya ilmu di kalangan pelajar khasnya, dan masyarakat amnya. Para pendidik diharap dapat berperanan untuk menjayakan hasrat ini sehingga lahir rasa cinta yang mendalam terhadap ilmu melalui aktiviti-aktiviti membaca, berwacana, berbincang, berfikir, berkarya, dan seumpamanya.
Salah satu daripada teras reformasi dalam pendidikan kini ialah ke arah menjayakan prinsip pendidikan sepanjang hayat. Salah satu daripada ciri utama insan baik dan warga negara yang berguna pula ialah ciri berilmu pengetahuan.
Pendahuluan
Dalam tahun-tahun mutakhir ini wujud gesaan yang kuat supaya dipupuk dan diperkembang budaya ilmu di kalangan pelajar khasnya, dan masyarakat amnya. Para pendidik diharap dapat berperanan untuk menjayakan hasrat ini sehingga lahir rasa cinta yang mendalam terhadap ilmu melalui aktiviti-aktiviti membaca, berwacana, berbincang, berfikir, berkarya, dan seumpamanya.
Salah satu daripada teras reformasi dalam pendidikan kini ialah ke arah menjayakan prinsip pendidikan sepanjang hayat. Salah satu daripada ciri utama insan baik dan warga negara yang berguna pula ialah ciri berilmu pengetahuan.
Kedua-dua hal ini dengan jelas menunjukkan hasrat kita bersama untuk membina kekuatan bangsa dan negara di atas landasan ilmu pengetahuan. Malahan, tamadun bangsa dan negara juga perlu diwadahi oleh ilmu pengetahuan, justeru menukarkan tapak asasnya supaya menjadi mantap dan kukuh, menjadi tamadun yang luhur dan unggul.
Budaya Ilmu dan Cita-cita Bangsa
Bangsa yang berjiwa besar dan memiliki cita-cita luhur, untuk bukan sahaja memelihara maruah, malahan untuk mengangkat mertabatnya ke mercu kejayaan dan kecemerlangan, tidak ada pilihan melainkan untuk mengambil wadah ilmu sebagai wahana utama. Sejarah bangsa-bangsa dan negara-negara di sepanjang zaman, yang mampu membuktikan keunggulan, memiliki semangat yang kental untuk memperolehi, memperkembang, dan menggunakan ilmu untuk manfaat manusia dan kemanusiaan serta jagat raya. Bersabit dengan hal ini canselor East West University, Chicago (USA), M. Wasiullah Khan berkata (1981) :
The history of mankind bears witness
to the fact that the rise and fall
of peoples and civilizations are
directly related to acquisition,
production and sagacious use of
knowledge. Those who excel in this
respect assume the leadership of
nations….
(dalam : Education and Society In The Muslim World, hal. 25).
Contohnya dapat disaksikan dalam sejarah masa lalu dan juga masa kini. Sejarah Yunani memperlihatkan keunggulan kota raya Athens berbanding dengan Sparta, Troy, dan lain-lain. Kata Profesor M. Hutchins (bekas Presiden Universiti Chicago, USA, 1969) :
Di Athens, kegiatan pendidikan tidak
Terbatas pada masa-masa tertentu, di
tempat-tempat tertentu atau pada
peringkat tertentu. Pendidikan
(budaya ilmu) merupakan matlamat
utama masyarakat…. Manusia di
Athens dididik oleh budaya, oleh
Paidie (pendidikan).
(dipetik oleh Dr. Wan Mohd. Nor Wan Daud, dalam : Budaya Ilmu, 1988, Hal. 10-11)
Masyarakat di Athens telah mengamalkan budaya ilmu. Di situ lahir ilmuan-filosof besar seperti Socrates, Plato, dan Aristotle. Karya-karya mereka mempengaruhi perkembangan ilmu pengetahuan di sepanjang zaman dan terus menerus dikaji hingga masa kini.
Perkembangan tamadun Islam yang unik dan istimewa di zaman pertengahan dicirikan sepenuhnya oleh ilmu pengetahuan. Hal ini ditegaskan oleh seorang tokoh, F. Rosenthal, dalam karya beliau ‘Knowledge Triumphant’, (1970). Sumbangan ilmu pengetahuan yang dimajukan oleh sarjana-sarjana Muslim menjadi asas membantu ‘Dunia Barat’ mencapai kecemerlangan ilmu dewasa ini. Terdapat barisan sarjana ilmuan dan ulama yang ramai yang telah mengkaji, memperkembang, dan memperluas sempadan ilmu hingga seolah-olah tidak ada bidang ilmu yang diabaikan dan tidak diterokai. Seolah-olah wujud satu prinsip utama yang diperjuangkan dengan hebatnya pada masa kini, iaitu prinsip pendemokrasian pendidikan. Dunia terus terhutang budi kepada Ibnu Sina, Ibnu Rushd, Ibnu Haitham, Imam Abu Hanifah, Imam Shafie, Imam Ghazzali, dan lain-lain kerana mutiara-mutiara ilmu yang mereka sumbangkan terus menerus menyinari zaman.
Satu contoh masyarakat yang unik, justeru memiliki budaya ilmu yang hebat wujud di Virginia, Amerika Syarikat pada abad ke 18. Walaupun tidak wujud sebuah universiti pun dewasa itu di Virginia, namun telah lahir tokoh-tokoh negara Amerika Syarikat yang terkenal seperti Benjamin Franklin, George Washington, Thomas Jefferson, John Adams, James Madison, dan lain-lain. Rahsianya dapat disaksikan dalam wasiat seorang bapa bernama Josiah Quincy. Pesan beliau :
I leave to my son, when he shall
reach the age of fifteen, the works
of Algerninon Sydney, John Locke,
Bacon, Gordon’s Tacitus and Cato’s
Letters.
(dalam : Eighteenth Century America, hal. 660)
Abad ke 20 pula memperlihatkan kesungguhan dan kehebatan Barat, khasnya, untuk memperkembangkan ilmu pengetahuan, justeru hingga membawa kepada apa yang dikenali sebagai ‘ledakan ilmu’ (explosion knowledge). Penguasaan barat ke atas arah haluan dan perkembangan dunia berkait rapat dengan penguasan mereka ke dalam ilmu pengetahuan. Salah satu nilai tara utama yang digunakan kini untuk mengelompokkan negara-negara di dunia, ialah kadar celek huruf. Negara-negara maju tidak menghadapi masalah buta huruf, sementara negara-negara mundur pula (Least Developed Countries – LDC) menghadapi masalah buta huruf melebihi kadar 80%. Keadaan negara-negara dalam kategori LDC adalah menepati kata-kata M. Wasiullah Khan sewaktu membincangkan kesan kemerosotan budaya ilmu. Negara-negara tersebut menjadi terdesak lalu mereka ‘finally end up begging others for their survival’.
Krisis Ilmu
Walupun dunia kini memperlihatkan perkembangan ilmu pengetahuan yang hebat, khususnya di bidang sanins dan teknologi, kualiti manusia dan kemanusian tidak mengalami perubahan yang positif, malahan mereka terus dicengkam kemelut. Keadaannya sudah sampai kepada tahap yang amat kritikal. Kata N. Maxwell (1984) :
There is thus, I claim, a major
intellectual disaster at the heart
of western science, technology,
scholarship, and education – at the
heart of western thought ; and this
long standing intellectual disaster
has much to do with the human
disasters of our age, our incapacity
to tackle humanely and successfully
our present world-wide problems.
(dalam From Knowledge To Wisdom, hal. 3)
Mengapa wujud ‘bencana intelektual’, ‘bencana teknologi’, dan ‘bencana pendidikan’? Bencana ini berpunca daripada kesungguhan Barat untuk merasionalisasikan seluruh bidang hidup, menjadikan kesemuanya bersifat objektif dan emperikal, lantas mewujudkan nilai tara yang disebut sebagai ‘standard empericism’ dam ‘positivism’. Sains sahaja dianggap benar. Akibatnya wujud jurang di antara ilmu pengetahuan sains yang bersifat obejktif dengan ilmu pengetahuan yang bersifat subjektif dan spekulatif. N. Maxwell menegaskan :
…it demands that a gulf be
maintained, on the one hand, the
intellectual domain of science and
knowledge, having to do with
objective fact and truth, and on the
other hand the personal domain of
subjective experiences, feelings,
and values, having to do with such
things such as joy, fear and love
(dalam From Knowledge To Wisdom, hal. 7)
Sebenarnya bukan jurang sahaja yang wujud di antara kedua-dua bentuk ilmu, malahan ilmu-ilmu yang bercorak subjektif dan spekulatif disisih, diketepi, dan disingkirkan. Menurut N. Maxwell lagi :
Thus religious views, ideologies,
social, and political policies, which
intermingle judgement concerning
facts and values in an essential
way, are incapable of objective,
rational assessment and have no
place within the intellectual
domain of sciencetific academic
inquiry. All such ideas may be said
to be, in an important sense,
irrational.
(dalam From Knowledge To Wisdom, hal. 19-20)
Ilmu pengetahuan yang sudah terpisah daripada nilai-nilai dan kepercayaan hanya merupakan fakta semata-mata, yang kering dan kaku. Maka tidaklah menghairankan jika 500,000 ahli sains di dunia kini sedang terlibat dalam pembuatan senjata. Mereka tidak peduli tentang risiko dan bencana dari ciptaan mereka.
Sementara itu masalah-masalah utama yang dihadapi oleh manusia seperti kekurangan makanan, pakaian, kesihatan, dan tempat tinggal tidak mendapat perhatian yang mencukupi, malahan hampir terbiar. Kini ada satu billion penduduk dunia yang ‘under nourished’ dan akibatnya sebelas juta mati tiap-tiap tahun. Mereka perlukan pembelaan. Tetapi apa yang berlaku ialah ilmu pengetahuan yang ada digunakan untuk merosak dan memusnahkan manusia dan alam. Menurut Schumaker (1973) :
…mankind is in mortal danger, not
because we are short of scientific
and technological know-how, but
because we tend to use it
destructively, without wisdom.
(dalam Small Is Beautiful, hal. 82)
Akibat daripada ‘bencana’ yang boleh mengancam dan memusnahkan seluruh manusia dan alam, Maxwell mencadangkan dibina ‘philossophy of Wisdom’ (Falsafah Hikmah). Mortimer J. Adler mengatakan (1985) :
Knowledge is not the highest of the
intellectual goods, of highest value
is understanding and, beyond that,
wisdom.
(dalam Ten Philossophical Mistakes, hal. 107)
Apakah ini bermakna kebanggaan manusia kini, khasnya di Barat terhadap kemajuan ilmu pengetahuan, sains, dan teknologi, hanya merupakan kebanggaan kosong, justeru ilmu tersebut hanya bersifat pada peringkat terbaik, separa ilmu, dan pada umumnya ilmu yang palsu?
Konsep Ilmu
Ilmu merupakan alat yang utama dan amat berharga kepada manusia, justeru ilmu dapat merubah diri manusia daripada bebal kepada cerdik, jahil kepada tahu, gelap kepada cahaya, dan derita kepada bahagia. Menurut Pratima Bowes (1959) :
A value thing or ideas (ilmu) is able
to satisfy the ‘inner call’ of man,
to evolve his responsive feelings,
and fainally help him attain a
pervasive and comprehensive
happiness.
(dalam The Concept of Morality, hal 130)
Profesor Syed Muhammad Naquib Al-Attas mengatakan :
…analogically that knowledge is
the food and life of the soul.
(dalam Preliminary Thought on the Definitions and Aims of Education, 1971 hal. 15)
Hal ini jelas menunjukkan bahawa dimensi ilmu tidak hanya terhad kepada yang bersifat objektif dan emperikal. Malahan wujud juga dimensi dalaman (‘inner call’) yang bersifat subjektif. Ini bermakna jurang yang sengaja diwujudkan dalam falsafah ilmu di Barat itu bercanggah dengan konsep ilmu yang sebenarnya. Seharusnya bukan sahaja tidak wujud ‘jurang’ dan percanggahan di antara kedua-dua dimensi ilmu, sebaliknya kedua-duanya harus bersifat lengkap-melengkapi dan bersepadu.
Dalam sejarah epistemology sentiasa wujud pembahagian ilmu. Aristotle, misalnya, membahagikan ilmu kepada teori (seperti metafizik dan wahyu) dan ilmu praktik (seperti akhlak, rumah tangga, dan politik). Imam Ghazali pula membahagikannya kepada ilmu fardhu a’in (wajib ke atas setiap individu) yang merujuk kepada ilmu-ilmu agama, dan ilmu fardhu kifayah (wajib ke atas masyarakat) seperti perubatan dan pertanian. Ibnu Khaldun pula membahagikannya kepada ilmu naqal (agama) dan ilmu akal (sains tabie, sains sosial, dan kemanusiaan). Kini, ilmu dibahagikan kepada empat, iaitu Sains Tabie, Sains Sosial, Kemanusiaan, dan Teologi. Walaupun wujud empat kumpulan, tiga kumpulan yang pertama itu boleh digolongkan kepada kategori ilmu-ilmu akal atau yang diperolehi. Teologi pula termasuk dalam kategori ilmu naqal atau wahyu.
Setelah menghuraikan dimensi dan sifat ilmu yang sepadu, bagaimana pula kedudukan maklumat dalam skema ilmu pengetahuan? Yang jelasnya maklumat tidak sama dengan ilmu, walaupun maklumat diperlukan, dan dalam banyak hal maklumat menjadi prasyarat untuk membolehkan seseorang mendapat ilmu. Maklumat atau informasi mungkin banyak, belum tentu benar dan bermakna kepada diri seseorang. Hanya maklumat (fakta, data, dan seumpamanya) yang benar yang boleh membantu seseorang mendapat erti, makna dan faedah daripadanya. Ilmu juga memerlukan maklumat yang benar. Sebaliknya, maklumat yang tidak benar, walaupun boleh memberi makna, tidak akan mendatangkan manfaat kepada pemiliknya. Malahan maklumat yang tidak benar boleh mendatangkan natijah buruk, justeru hanya merupakan perasaan, syak, atau zan yang boleh merosakkan diri manusia.
Apakah dia ilmu? Menurut Confucious (1983) :
“Shall I teach you what knowledge
is? When you know a thing, to hold
that you know it ; and when you do
not know a thing, to allow that you
do not know it. This is knowledge”
(dalam The Sayings of Confucius, hal. 37)
Ungkapan di atas membawa maksud mengetahui, mengenali, memahami, mengenal pasti, dan meyakini. Ilmu di sini bermakna kebenaran. Mengikut Imam Ghazali pula ilmu itu tidak dapat dipisahkan daripada hakikat.
Profesor Syed Muhammad Naquib Al-Attas pula menjelaskan (1978) :
…we have defined knowledge
epistemelogically as the arrival in
the soul of the meaning of a thing,
or the arrival by the soul at the
meaning of a thing.
(dalam Islam and Secularism, hal. 154)
Makna di sini juga merujuk kepada kebenaran, iaitu kebenaran yang tiba ke dalam rohani manusia (kalbu, roh, nafs, dan akal).
Kebenaran yang sudah mendapat tempat dan bertapak di dalam diri akan menimbulkan keyakinan dan menguatkan keimanan, kata Schumaker :
He will not be in doubt about his
basic conviction, about his view in
the meaning and purpose of his life.
(dalam Small Is Beautiful, hal 95)
Ini bermakna seseorang yang berilmu itu bukan sahaja memiliki kebenaran, malahan keyakinan serta kesedaran akan tanggungjawab kepada diri, keluarga, masyarakat, negara, dan yang tertinggi sekali kepada Allah Maha Pencipta. Ilmu yang bermakna bukan sahaja mendatangkan erti kepada si pemilik, malahan mencetuskan komitmen untuk memperjuang dan menegakkan kebenaran, keadilan, kemuliaan, dan keluhuran. Nilai-nilai luhur disanjung, dijunjung, dan diagung. Demikianlah sifat-sifat terpuji yang seharusnya dimiliki oleh manusia yang berilmu.
Budaya Ilmu
Matlamat ke arah pembudayaan ilmu ialah untuk melahirkan masyarakat yang cintakan ilmu dan kebenaran serta meletakkan ilmu di tempat tertinggi dalam sistem nilai hidup mereka. Masyarakat ini sentiasa berlumba-lumba untuk memiliki, memperkembang, memanfaat, dan menghayati ilmu untuk kepentingan kehidupan seluruh manusia dan alam jagat.
Sebelum memperincikan ciri-cirinya, kita juga perlu meneliti maksud budaya. Menurut Vijay Satha :
Culture is the set of important understanding
(often unstated) that members of a community
share in common.
(dalam Implications of a Corporate Culture : A Manager’S Guide To Action)
Himpunan kefahaman yang penting merujuk kepada tanggapan masyarakat terhadap sesuatu. Dalam konteks ini, kefahaman-kefahaman itu dikaitkan dengan ilmu pengetahuan. Di antaranya ialah :
Manusia diwajibkan menuntut ilmu, tidak kira Muslim atau bukan Muslim. Dengan ilmu manusia dapat memahami hakikat diri, hakikat manusia, hakikat alam, dan hakikat Allah Maha Pencipta.
Dengan ilmu manusia dapat membangunkan diri dan mertabat insan serta melaksanakan amanah dengan baik dan sempurna.
Dengan ilmu manusia dapat membangunkan alam serta mengambil manfaat darinya untuk kemakmuran dan kesejahteraan hidup manusia.
Dengan ilmu manusia dapat mendekatkan diri kepada Allah Maha Pencipta.
Dengan ilmu manusia dapat mencapai kemenangan dan kebahagiaan (al-falah) di dunia dan di akhirat.
Kefahaman-kefahaman yang mustahak tentang ilmu, perlu diikuti dengan pembentukan sikap yang sesuai dan selaras. Sikap ini merujuk kepada keadaan pemikiran dan juga jiwa yang positif. Sikap juga merujuk kepada kesatuan fahaman yang sudah mencorak serta mempengaruhi fikiran dan jiwa agar cenderung untuk melaksanakan hal-hal yang telah difahami. Sikap yang positif dan mantap membolehkan seseorang membina ‘vision’ yang jelas. Di samping itu ia dapat memahami ‘mission’nya dengan sebaik-baiknya. Dengan memiliki sikap yang positif, maka mudahlah bagi seseorang atau kumpulan untuk berusaha dan bekerja ke arah melaksanakan cita-cita dan menjayakan matlamat yang telah ditetapkan.
Dalam konteks budaya ilmu, sikap positif merujuk kepada kecenderungan dan minat yang tinggi di kalangan anggota sesuatu masyarakat untuk memperolehi ilmu serta mengembangkannya. Masyarakat yang memiliki budaya ilmu mempunyai kesediaan dan kesanggupan untuk melibatjkan diri secara serius dan dengan sepenuh hati di bidang ilmu serta bersedia mengalami pahit maung dan melakukan pengorbanan. Sikap yang positif menjadi rangsangan dan motivasi yang teguh untuk mendorong untuk mereka bergerak maju belajar, mengkaji, berbincang, berkarya, dan seumpamanya.
Aspek budaya ilmu yang akhir merujuk kepada manifestasi, iaitu kepada pola-pola perlakuan yang menjelma, yang menunjukkan fahaman serta sikap yang positif terhadap ilmu. Pola-pola perlakuan ini membentuk norma-norma dan ciri-ciri tertentu yang mencorakkan budaya ilmu tersebut.
Ciri budaya ilmu yang pertama dikaitkan dengan usaha memperolehi ilmu melalui berbagai-bagai cara. Membaca amat dititik beratkan kerana tidak ada jalan rentas untuk membolehkan seseorang mendapat ilmu. Membaca melibatkan pelbagai proses, seperti melihat, meneliti, dan yang pentingnya ialah berfikir. Oleh kerana itu tabiat membaca boleh membantu seseorang membangunkan daya fikir.
Demikian juga dengan belajar, berwacana, berbincang, dan seumpamanya. Berfikir itu pula merupakan suatu proses pemerolehan ilmu yang amat penting kerana ia boleh membantu membina kefahaman dan kesedaran serta mengangkatnya ke peringkat yang lebih tinggi sehingga mencapai hikmah.
Ciri budaya ilmu yang kedua bersabit dengan usaha mengembangkan ilmu. Maksudnya ilmu bukan semata-mata dihadkan kepada ‘consumption’ sendiri, tetapi untuk faedah yang luas dan menyeluruh. Manusia berusaha bersungguh-sungguh untuk mengkaji dan menerokai pelbagai bidang ilmu. Niat mereka adalah untuk memberi manfaat kepada manusia seluruhnya. Mereka mencatat dan merakamkan segala dapatan, menulis, dan berkarya, supaya ilmu tersebut dapat di sebar dan dikongsikan dengan manusia lain dan diwariskan kemudiannya kepada generasi berikutnya.
Ciri budaya ilmu yang ketiga berkait dengan usaha manusia untuk mengguna dan memanfaatkan ilmu dengan sebaik-baiknya supaya dapat mendatangkan kemakmuran, kesejahteraan, dan kebahagiaan. Manusia mereka cipta, menghasilkan pelbagai teknologi, dan alat kemudahan yang boleh memberi sumbangan serta memenuhi keperluan-keperluan manusia dari segi fizikal seperti makan, minum, mental, dan rohani.
Dengan cara demikian kualiti hidup, dari segi kuantiti dan kualiti akan meningkat. Begitu juga dengan kebahagian dan kesejahteraan manusia.
Ciri budaya ilmu yang keempat menyentuh secara khusus perhubungan di antara manusia dengan ilmu, penuntut dengan guru, masyarakat dengan ilmuan dan ulama. Justeru ilmu disanjung kerana intipatinya ialah kebenaraan, maka orang-orang yang berilmu dan pengembang ilmu dihormati dan dimuliakan. Maka di sini lahirnya adab dalam belajar, menghormati guru, orang alim, cendikiawan, dan ulama. Perhubungan yang baik dan adab ini penting untuk membolehkan ilmu tersebut mendatangkan barakah kepada pemiliknya.
Ciri budaya ilmu yang kelima berkait rapat dengan komitmen manusia untuk menegak dan memperjuang kebenaran dan menolak kebatilan serta kepalsuan. Ini seharusnya menjadi panji-panji hidup dan nilai tara yang mutlak dalam merumus dan membuat sesuatu keputusan. Keputusan dibuat dengan teliti, melalui perbincangan dan musyawarah. Keputusan dibuat hasil daripada pertimbangan akal yang bersih dan jiwa yang murni. Keputusan ini mencerminkan keikhlasan, kejujuran, dan keadilan. Keputusan yang murni dapat menghasilkan natijah yang baik dan positif kepada diri, keluarga, masyarakat, dan negara.
Usaha-usaha untuk melaksana, mengamal, dan menghayati ciri-ciri budaya ilmu yang dinyatakan perlu dilakukan dengan serius. Norma-norma perlakuan budaya ilmu perlu diperluas dan diratakan di kalangan masyarakat ; justeru sedikit demi sedikit budaya ilmu dapat dipupuk dan dimantapkan dalam masyarakat dan negara. Dan sedikit demi sedikit tamadun bangsa dan negara dapat dibina di atas landasan ilmu pengetahuan dan kebenaran.
Penutup
Sesuatu budaya memang tidak dapat dibentuk dalam sekelip mata, lebih-lebih lagi budaya ilmu. Sejarah bangsa-bangsa masa lalu, yang pernah mencapai kecemerlangan ilmu, memakan masa ratusan tahun sebelum mereka mencapai kedudukan teguh.
Namun, ini tidak bermakna hal ini sukar dan mustahil dilakukan. Sesungguhnya, sebahagian daripada ciri-ciri budaya ilmu sudah pun kita miliki. Apa yang perlu kita lakukan ialah untuk meratakan kesedaran serta mengajak masyarakat kita membina sikap yang positif terhadap ilmu dan juga pola-pola perlakuan yang sesuai dan selaras dengan kefahaman tersebut. Walau bagaimanapun kumpulan sasaran yang paling penting ialah para pelajar di sekolah. Oleh itu para pendidik, khususnya, memikul amanah yang besar untuk melaksanakan cabaran dan tuntutan ini.
Honarkan pada dunia,, bahawa Cikgu Meyut kita sudah ada blog... cayalah cikgu,,,, baru la stylo...
ReplyDeleteTuntutlah ilmu sebagai bekalan hidup didunia dan akhirat...
ReplyDelete